Dec 10, 2010

Doa akhir dan awal tahun.

Assalamualaikum w.b.t.

alhamdulillah, Allah azza wajalla telah memberi kesempatan kepada kita untuk terus menikmati kehidupan di dunia ini dan kurang dari 30 jam lagi insyaAllah hayat kita dapat merasakan tahun baru dalam islam, tahun 1432 hijrah.

apakah itu tahun hijrah?

seperti mana kalendar Gregorian yang seantero dunia mengaplikasikan dalam kehidupan seharian, ummat islam juga mempunyai kalendar yang tersendiri yang dikenali sebagai kalendar Hijri.

apakah perbezaan antara kalendar Gregorian dan Hijri?

antara perbezaan di antara kedua-dua kalendar ini adalah,

1. Gregorian mengikut putaran bumi mengelilingi matahari, manakala Hijri mengikut putaran bulan mengelilingi bumi.

2. Gregorian mempunyai 365 hari setahun (366 hari dalam tahun lompat), manakala Hijri mempunyai 354 hari setahun.

3. Jumlah hari dalam setiap bulan Gregorian adalah tetap (Januari 31 hari, November 30 hari), tetapi jumlah hari dalam setiap bulan Hijri tidak tetap, bergantung kepada nampaknya Hilal (anak bulan). bulan-bulan dalam Hijri antara 29 atau 30 hari. kaedah mengira munculnya anak bulan adalah dengan menggunakan ilmu 'Falak'.

bilakah permulaan setiap kiraan kalendar tersebut?

dalam kalendar Gregorian, ia bermula setelah kelahiran Nabi Isa a.s.

dalam kalendar Hijri pula, ia mula digunakan di zaman Khalifah Umar al-Khattab r.a, dan tahun berlakunya peristiwa hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Makkah ke Madinah diambil sebagai tahun pertama hijrah.

apakah ada amalan khusus dalam menyambut kedatangan tahun baru Hijri?

tiada amalan khusus dalam menyambut kedatangan tahun baru Hijri. tidak ada dalil dari al-Qur'an dan as-Sunnah tentang sambutan tahun baru Hijri. maka Nabi Muhammad s.a.w tidak pernah menganjurkan apa-apa amalan khusus dalam menyambut tahun baru. jangan samakan seperti sambutan tahun baru Gregorian, seperti yang kita tahu detik 1 Januari setiap tahun ditunggu-tunggu dengan penuh debaran dan kedatangannya disambut dengan pesta bunga api dan di negara-negara barat, pesta arak, tari menari, dan segala macam amalan Jahiliyah.

bolehkah berdoa untuk kesejahteraan tahun yang akan datang?

tidak salah untuk berdoa, kerana berdoa itu sangat digalakkan. berdasarkan firman Allah s.w.t;

Dan Tuhanmu berfirman: "berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagimu". Sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembahKu (berdoa kepadaKu) akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina dina. [al Ghafir, 40:60]

berdoa itu adalah tuntutan ke atas setiap insan yang beriman, bahkan berdasarkan ayat tersebut, sesiapa yang menyombongkan diri untuk tidak berdoa kepada Allah tergolong dalam golongan yang dicela.

maka, tidaklah salah untuk mendoakan kesejahteraan untuk tahun yang akan datang. tetapi ia menjadi salah apabila kita kaitkan doa akhir dan awal tahun dengan pelbagai fadhilat kepada sesiapa yang membacanya, kerana Allah s.w.t tidak menyebut dalam al-Qur'an tentang kelebihan membaca doa akhir dan awal tahun, dan Nabi Muhammad s.a.w tidak pula mengajarkan doa khusus untuk peristiwa ini dalam mana-mana Hadis yang Shahih.

contoh amalan khusus yang dianjurkan dalam bulan Muharram adalah seperti berikut;

صوم يوم عرفة يُكفِّر سنتين: ماضية ومستقبلة، وصوم يوم عاشوراء يكفر سنة ماضية

"Puasa pada hari Arafah menghapuskan (dosa) 2 tahun : yang lepas dan yang akan datang, dan puasa pada hari 'Asyura' menghapuskan (dosa) setahun yang lepas" -[Hadith diriwayatkan oleh semua kecuali al-Bukhari dan Tirmudzi, Nailul Authar, 4/323].

maka, menurut hadis di atas, kita dianjurkan untuk berpuasa pada hari Asyura (10 Muharram). amalan sebegini adalah sunat untuk kita lakukan kerana anjuran Nabi Muhammad s.a.w sendiri. dan fadhilat 'penghapusan dosa selama 2 tahun' itu adalah benar berdasarkan hadis tersebut. tetapi kuasa pengampunan hanya di sisi Allah s.w.t, tidaklah benar jika kita berpuasa pada hari Arafah memberi kita 'lesen' untuk bermaksiat untuk tahun yang akan datang. apa yang penting, kita kekal istiqamah dalam segala amalan seharian kita dan mempunyai iltizam yang tinggi untuk memperbaik diri dalam meningkatkan perkara-perkara ma'ruf dan mencegah diri dari melakukan perkara-perkara yang mungkar.

kesimpulannya, teruskan berdoa kerana Allah Maha Mendengar, semoga kita terpelihara dari kepercayaan yang tidak ada dalam syariat Islam. sabda Rasulullah s.a.w “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” [HR Muslim]

Ya Allah, semoga segala amalan kami diterima olehMu dan kuatkanlah iman kami dalam menghadapi dugaan dan cabaran di dunia ini. jadikanlah tahun yang akan datang ini lebih baik dari tahun lalu, ampunilah dosa kami, dan rahmatilah kami Ya Allah, ameen ya rabb! [ini doa yang saya karang sendiri, dan kita boleh saja berdoa dengan apa cara sekalipun. jika ada doa khusus yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w, amalkanlah!]

Wallahu a'lam.

sekian, al faqir ilallah

Imanul Hassan bin Abdul Shukor

p/s: tulisan saya adalah rumusan dari rujukan sumber-sumber di bawah, digalakkan untuk membaca agar dapat pemahaman yang lebih jelas insyaAllah.

perihal sambutan maal hijrah : http://drmaza.com/himpunan_fatwa/?p=28

perihal doa akhir dan awal tahun : http://qazikirdandoa.blogspot.com/2009/03/doa-awal-dan-akhir-tahun-serta-bubur.html

http://www.al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=97&t=37445

No comments: