Mar 20, 2011

Tiga Golongan Penuntut Ilmu

Dan ketahuilah bahawa manusia di dalam menuntut ilmu ini terbahagi kepada tiga keadaan;

Pertama : Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat, maka dia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah dan negeri akhirat. Maka orang ini termasuk di dalam golongan orang yang beruntung.

Kedua : Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan yang segera (dunia) dan untuk mendapatkan kemuliaan, pangkat, dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan di dalam hatinya akan kejahatan keadaan yang sedang dialaminya dan kehinaan maksudnya. Maka orang ini adalah berada di dalam golongan yang berbahaya.

Jikalau dia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan su'ul khatimah (pengakhiran yang buruk), kemudian urusannya terserahlah kepada kehendak Allah (kalau mahu dimaafkan atau diseksa). Tetapi kalau dia mendapat taufik sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan terhadap apa yang tercedera dan tercuai. Maka bolehlah dia dikumpulkannya bersama golongan yang beruntung, kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.

Ketiga : Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang dituntutnya itu sebagai alat untuk menghimpunkan harta benda dan bermegah-megah dengan kedudukan dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut itu untuk mencapai segala hajatnya dan untuk mengaut keuntungan dunia.

Walaupun demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaannya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai para 'ulama. Dia bercakap seperti percakapan 'ulama dan berpakaian seperti pakaian 'ulama, padahal zahir dan batinnya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpun kekayaan dunia. Orang yang seperti ini termasuk dalam golongan yang binasa, jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk di dalam golongan orang yang baik, padahal ia telah lupa akan firman Allah swt;
Wahai orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan perkara yang tidak kamu amalkan. [As-Saff, 61:2]
Dan juga ayat;
Katakanlah wahai muhammad! Mahukah kamu aku khabarkan dengan orang yang sebenarnya mendapat kerugian di dalam usaha mereka? Iaitu orang yang telah mensia-siakan perbuatan mereka dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka telah berbuat baik. [al Kahfi, 18:103-104]
Wahai penuntut ilmu, maka jadikanlah dirimu bersama dengan golongan yang pertama, dan hati-hatilah supaya engkau tidak termasuk ke dalam golongan yang kedua kerana banyak sekali orang yang lalai yang telah diragut oleh kematian sebelum dia sempat bertaubat lalu rugilah dia. Dan jangan sama sekali engkau termasuk ke dalam golongan yang ketiga maka engkau akan terjerumus ke jurang kebinasaan yang tidak diharapkan dapat diselamatkan atau diperbaiki lagi.


- Gambar Hiasan -

- Pesanan imam al-Ghazali dalam muqaddimah bukunya 'bidayatul hidayah', telah disunting untuk ringkasan pembacaan dan kemudahan dalam pemahaman isinya.

Semoga kita (yakni para penuntut ilmu) tergolong dalam golongan yang pertama tersebut. Seaungguhnya mengharap keredhaan Allah swt adalah tujuan utama kita hidup di dunia ini.

Semoga bermanfaat insyaAllah.

p/s: jazakallah akh ikmal johari kerana telah mencantikkan entri ini. juga boleh dibaca di sini.

Mar 13, 2011

Banggakah anda sekadar menjadi muslim?

Oleh Ahmad Baei Jaafar

Kita harus berasa bangga kerana dilahirkan daripada keluarga Islam, nama sudah pun direkodkan sebagai Islam, dan pasti kalau mati pula akan dikebumikan secara Islam di tanah perkuburan Islam. Dan kita juga harus bersyukur kerana sebaik sahaja kita boleh mendengar dan bercakap kita sudah dibiasakan dengan perkataan Allah.

Kita tidak susah untuk mencari Islam kerana semuanya sudah tersedia buat kita. Sedangkan kawan-kawan kita ada yang terpaksa bersusah payah mencari Islam, dan dalam pada itu mereka dihalang dan dihina malah disisihkan keluarga. Namun mereka tetap bersyukur kerana telah diberi hidayah walaupun sudah agak terlambat daripada kita.

Walau bagaimanapun kedudukan kawan kita itu kadang-kadang lebih baik daripada kita yang sudah lama beragama Islam. Kita hanya boleh berbangga dengan keislaman yang kita milik, tetapi kita tiada upaya menjaga iman dan agama kita. Kita belum bebas dan terselamat daripada gangguan syaitan yang tugasnya untuk menyesatkan kita.

Tahukah anda setelah kita mengucap dua kalimah syahadah maka secara rasmi kita telah digelar sebagai seorang Muslim. Bagi yang Muslim keturunan, sejak baligh dan mendirikan solat, mereka sudah direkodkan sebagai muslim secara rasmi. Tetapi setelah bergelar Muslim banyak kemungkinan boleh berlaku, ada yang boleh meningkat menjadi Mukmin atau berubah menjadi kafir atau musyrik atau munafiq.

Dalam ruang yang terbatas ini, saya cuba untuk menghuraikan kemungkinan itu semoga kita boleh berhati-hati dalam kehidupan ini:

  1. Apabila anda kuat hubungan dengan Allah, tauhidnya mantap, taqwa kepada Allah pada tahap tinggi, perintah Allah dilaksanakan dan larangannya ditinggalkan, maka terbinalah sebahagian mukmin pada diri anda. Seterusnya dikuatkan hubungan dengan manusia; akhlaknya, muamalatnya, dan toleransinya sesama manusia, maka sempurnalah mukminnya.
  2. Apabila anda mula meragui kekuasaan dan kehebatan Allah; perintah Allah diabaikan seolah-olah mencabar hukum Allah, dan larangan Allah dibuat secara sedar seolah-olah tidak takut kepada hukuman Allah, ketika itu jadilah anda seorang kafir.
  3. Apabila anda menyembah Allah tetapi pada masa yang sama anda turut memperakui tuhan-tuhan lain setaraf dengan Allah. Anda memperakui ubat yang dimakan mampu menyembuhkan sakit anda. Meyakini bahawa jin boleh memberikan sakit dan sihat terhadap seseorang manusia. Dan juga sanggup tunduk sujud kepada manusia yang bertaraf pemimpin atau pembesar. Sedangkan semua kelakuan itu hanya layak untuk Allah, maka mereka yang berbuat begitu telah dikira musyrik.
  4. Apabila anda bersifat talam dua muka, sering bermuka-muka dengan seseorang kerana sesuatu kepentingan maka anda termasuk dalam kalangan orang munafiq. Anda tahu kebenaran pada seseorang, tetapi anda selewengkan maklumat kerana hendak menjatuhkan orang itu, sahlah anda bukan Muslim yang jujur. Ketahuilah golongan itu terdapat tiga sifat berikut: Apabila berkata-kata dengannya dia berbohong; apabila dia berjanji dia akan mungkiri; dan apabila diberi amanah dia akan khianati.

Dalam sebuah hadis, ditambah satu sifat lagi iaitu sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafiq yang jelas. Sesiapa melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafiq hingga dia meninggalkannya, iaitu apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengetepikan kebenaran (menegakkan benang yang basah).” (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan kemungkinan di atas, mampukah kita sekadar berbangga sebagai seorang Islam atau Muslim? Anda janganlah mudah terpengaruh dengan jaminan Rasulullah bahawa setiap yang mengucap dua kalimah syahadah akan dimasukkan ke dalam syurga. Janganlah berasa senang hati dengan tawaran bahawa seseorang Islam pasti akan masuk syurga juga akhirnya.

Memang betul ada jaminan dan tawaran itu, tetapi kita perlu ingat, seorang Muslim dalam kategori kafir itu akan dicampakkan ke dalam neraka terlebih dahulu. Entah berapa tahun di situ, bukan sehari dua. Kemudian kalau masih ada terselit kalimah syahadah pada dirinya, mungkin bolehlah setelah dibakar hagus dipindahkan ke dalam syurga. Walaupun akhirnya masuk ke syurga, sanggupkah anda dibakar dalam neraka sebegitu lama?

Seorang musyrik pula, Allah memberi jaminan bahawa dosanya tidak akan diampunkan. Dosa lain boleh ampunkan tetapi dosa syirik tidak boleh diampunkan begitu sahaja. Hal ini kerana syahadahnya sudah terbatal, maka perlu diulangi syahadah yang baru. Bagaimana kalau anda mati sebelum mengucap syahadah? Kadang-kadang kita mati mengejut, tidak sempat hendak bertaubat? Apakah masih ada jaminan ke syurga? Jadi, insaflah segera.

Seterusnya seorang munafiq, mereka ini akan diazab dalam neraka jahanam pada bahagian bawah sekali. Entah berapa lama mereka akan disimpan di situ. Kalaupun mereka ada peluang ke syurga (bergantung kepada syahadahnya kalau masih ada, tentu ada peluangnya, tapi kalau tiada, melepaslah) tentulah mereka itu orang yang paling akhir masuk syurga. Mahukah begitu, orang lain sudah bersenang hati menikmati syurga, anda baru hendak bermula.

Jika anda rasa tidak senang hati dengan keadaan dan kedudukan itu, pastikan anda tidak memilih tiga jalan di atas. Sebaliknya pilih yang satu iaitu mukmin. Tidak susah untuk menjadi seorang mukmin kerana Allah hanya memberi tiga syarat untuk menjadi mukmin sejati iaitu:

1. Apabila disebut nama Allah gementar hatinya;

2. Apabila dibacakan ayat Allah bertambah imannya;

3. Dan kepada Allah mereka berserah diri.

Mungkin kita boleh menilai diri sendiri, adakah ketika kita berbuat dosa, hati kita boleh tersentak apabila diingatkan kawan atau sahabat bahawa Allah sedang memerhatikan perbuatan kita? Barangkali kita boleh tersentak apabila diberitahu bahawa polis ada membuat sekatan jalan raya, tatkala lesen kereta kita sudah tamat tempoh. Kalau begitulah keadaannyaa, taraf mukmin anda masih rendah.

Kita selalu membaca al-Quran, tetapi berapa kali anda terasa iman meningkat ketika membaca al-Quran itu. Iman boleh meningkat kalau kita faham apakah teguran Allah terhadap kita, apakah sindiran Allah terhadap kita, dan apakah pengajaran yang disampaikan kepada kita. Tetapi kebanyakan kita tidak faham mesejnya, lalu dibacakan begitu sahaja. Bolehkah dengan cara itu boleh meningkat iman? Inilah yang perlu difikirkan semula.

Seterusnya setelah berusaha dan berikhtiar dalam kehidupan ini, kita harus berserah kepada Allah, bertawakal mengharapkan kejayaan. Hasil dan keputusan sama ada jaya atau gagal hanya Allah yang menentukannya. Jadi, sebagai seorang mukmin kita perlu redha dengan apa yang tentukan Allah.

Sehingga di saat ini, di manakah anda sekarang? Anda boleh pilih mana yang anda suka tetapi ingat, Allah hanya mahu hamba-Nya berada di tempat yang terbaik di dunia dan akhirat.

link asal.

Mar 7, 2011

Walimatul 'urus, hari gembira atau hari penyesalan?

"
1.0 Pendahuluan

Bernikah adalah sesuatu yang menggembirakan. Jarang orang tidak bergembira pada hari pernikahan mereka. Masakan tidak, gelaran raja sehari disandang dan dijulang. Bagi pasangan yang sudah lama bertunang, detik persetujuan para saksi semasa majlis pernikahan amatlah melegakan!


Kadang-kadang, keluar air mata kegembiraan dari pasangan pengantin kerana terlalu gembira telah menyempurnakan sebahagian agama dan menuruti sunnah nabi. Seperti mana yang disabdakan oleh Nabi :

النكاح سنتى فمن رغب عن سنتى فليس منى ,nikah itu adalah sunnah ku, jika sesiapa yang menolak sunnah ku, maka ia bukanlah dari golonganku.

Namun awas, jangan disangka kegembiraan menuruti sunnah nabi itu membuka jalan ke syurga semata-mata, kerana ia juga mampu mengheret kita masuk ke dalam jurang neraka yang dalam lagi menakutkan, jika ia tidak dilaksanakan seperti yang diperintahkan.

2.0 Menangis bertukar gembira

Apabila dua merpati sejoli di ijab kabulkan... maka bergembiralah kedua-dua keluarga, dan menangislah sang syaitan. Menangisnya sang Syaitan adalah kerana tertutupnya peluang kepadanya untuk memujuk si lelaki dan si perempuan melakukan zina.



Tapi, adakah anda menyangka syaitan yang menangis melihat dua orang yang bernikah itu akan lari merajuk membawa diri? Tidak sama sekali, di hadapan sana ternanti banyak lagi perangkap untuk mereka. Satu persatu perangkap itu mengena, dan tangisan syaitan terhenti dan diganti pula dengan ketawa yang terbahak-bahak!

Sang Syaitan ketawa kerana geli hati melihat si pasangan yang terlalu gembira hingga terlupa segala ajaran agama walaupun kedua-duanya mengaku sebagai pejuang agama. Habis ditolak tepi agama yang selama ini menjadi perjuangan mereka. Syariat diletak tepi, adat yang sesat dijulang tinggi.

Sang Syaitan gelak terbahak-bahak melihat aksi manja si isteri menyuapkan nasi ke mulut si suami yang hanya layak menjadi koleksi peribadi mereka berdua menjadi tontonan semua orang. Habis ditolak tepi perasaan malu. Malah dibanggakan pula kenangan itu dengan meng'upload'kan pula di dalam facebook, untuk tatapan seluruh dunia. Kalau boleh, biar Presiden Amerika Barrack Obama tahu dia berkahwin hari itu dan makan bersuap dengan bangga.

Sang Syaitan bertambah galak gembira ketawa melihat si suami dengan ghairah mencium kepala si isteri tanpa menghiraukan puluhan mata yang menyaksikan adegan sulit ini. Malah bangga pula mengulang adegan ini apabila diminta photographer upahan dari kedai yang berdekatan. Diulang tayang tanpa segan, walaupun si muslimah itu dahulunya terkenal sebagai seorang yang paling pemalu dalam dunia ini.

Sang Syaitan hampir pecah perut suka sambil berguling-guling dengan adegan romantik si suami dan si isteri yang bergambar di tepi pantai, atas pokok, di sawah padi, dalam air, atas katil, tepi rumah dengan pelbagai pose yang difikirkan menarik. Entah mana silapnya, suara lantang si suami yang beriya-iya mahu menegakkan daulah islamiah dalam liqa dan usrah yang dikendalikannya, langsung tidak berbunyi bila gambar isterinya puas di raba oleh kamera orang yang bukan muhrim. Segala sisi bentuk isterinya habis dilapah oleh si photographer yang kemudiannya menguploadkannya di laman web untuk ditatap oleh seluruh isi dunia.

Sang Syaitan kembali suka kerana berjaya memujuk si isteri yang terkenal dengan kepakaran membimbing usrah dan tamrin serta kuat berdakwah untuk bersolek dengan tebal. Habis hilang prinsip bersolek hanya untuk suami yang dijajanya kesana kemari di alam kampus dahulu. Kening dicukur sedikit, gincu dilanyak atas bibir, eye shadow, blusher, powder, maskara dan segala macam perhiasan bertenggek di mukanya. Itu belum dicampur dengan minyak wangi yang menarik perhatian segala makhluk yang ada di persekitarannya. Bila ditanya mengapa berbuat demikian, jawapan acuh tak acup diberikan.. mak yang suruh.

Itu belum dikira dengan majlis persandingan serta suasana majlis perkahwinan yang begitu mewah dan membazir.

Syaitan kembali tersenyum gembira.





3.0 Gembira bertukar Menyesal

Kadangkala, apabila sudah menjadi kebiasaan kita melakukan sesuatu perkara, tiba tiba datang pula satu peringatan memberitahu bahawa kebiasaan kita itu tidak benar, menyeleweng dan jauh dari panduan agama... kita akan cepat melenting, marah dan menyampah.

Apatah lagi sememangya selama ini terkenal sebagai juru dakwah yang popular. Berceramah pula di masjid dan surau. Maka pasti si juru dakwah itu segera mencari sebanyak mungkin kitab dan dalil untuk menghalalkan kebiasaan yang dia lakukan itu. Ahh.. mana boleh pendakwah seperti aku ditegur, malulah aku.

Maka dicapailah Mr Google mencari dalil menghalalkan perbuatannya. Bila tidak bertemu, dicarikan pula pendapat-pendapat yang 'gharib/asing' walaupun dari sumber-sumber yang tidak diyakini, asalkan mampu untuk menjadi hujah pelepas dari teguran yang diberikan.

Janganlah bersikap demikian ya akhi wa ukhti. Renungkan seketika majlis perkahwinan itu. Benarkah itu majlis yang dirahmati Allah ataupun dibenci oleh Allah. Jawablah dengan hatimu berpandukan kepada Nas yang benar lagi sahih. Sengaja tidak ditaburkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam artikel ini (walaupun dalilnya terlampau banyak) supaya anda dapat menilai dengan penuh berhati-hati majlis pernikahan itu dengan hati nuranimu yang suci itu.

Jangan sampai pada suatu hari nanti, kegembiraan yang dinikmati bertukar menjadi satu penyesalan yang tidak terperi. Tetkala seluruh harta, sahabat handai dan kaum keluarga tidak lagi mampu menjadi pendinding dan hujah bagi dirimu... yang ada hanyalah iman yang senipis bawang itu. Mampukah untuk menepis dosa bertimbun yang tiba kerana kealpaan mengikuti arahanNya di hari pernikahan tersebut?

Ingatlah kembali firman Allah dalam Surah Syuaara ayat ke 88 : iaitu di hari dimana tidak berguna harta dan anak-anak.

Adakah berani kita berbetah pada hari tersebut dengan hujah yang rapuh seperti mengatakan terpaksa mengikut permintaan ibu dan ayah , kaum kerabat serta sahabat handai, walaupun kita tahu permintaan untuk bersolek tebal, bersanding di hadapan orang ramai, adegan mencium, bergambar dengan posing-posing yang sulit, itu semua jauh dari panduan Islam. Namun, jika anda yakin mampu berhujah dan memberikan alasan di hadapan tuhan Rabbul Jalil, silakanlah melakukannya...

4.0 Penutup

Tugas seorang pendakwah ialah menyampaikan ilmu yang dipelajarinya untuk kembali kepada Allah. Tidak lebih dari itu. Samada perkara yang disampaikannya mampu mengubah orang yang mendengar dan membaca, itu bukannya kerja pendakwah. Itu kerja Allah.

Jangan pula timbul celaan dan kata nista selepas ini kepada orang yang menyampaikan seruan Islam ini, hanya kerana terkena pada batang hidung sendiri. Apatah lagi mengherdik dan memerli dengan kata-kata yang pedih lagi menyakitkan seperti , "Ko tak menikah lagi, bolehlah sembang. Tengok ar nanti bila ko kahwin...Macamana pula gayanya!" sambil tersenyum sinis bercampur geram.

Dan jangan pula bertindak mendoakan agar si pendakwah turut terjerumus dalam dosa yang sama supaya bila si pendakwah itu terbuat dosa yang sama, maka bolehlah diejek dan ditempik sekuat mungkin hingga di dengar seluruh penghuni dunia " Ceh, cakap orang lebih, kau pun sama aje!" dan berlalu dengan perasaan puas dan gembira.... kerana dendamnya telah berbalas.

Sesungguhnya, Aku hanya menyampaikan peringatan dari Allah dan risalah-Nya. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. (Q 72 : 22)
YDP Pertubuhan Muslim Professional Negeri Perak (IMPROF)
muhakim.blogspot.com
Selepas Tengah Malam
13 Oktober 2010


"

sumber asal, klik di sini.

Feb 25, 2011

Macam mana nak kira zakat?


Assalamualaikum wbt


Firman Allah swt;

“Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta keluarkanlah zakat dan taatlah kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat” [An-Nur 24:56]

Menunaikan zakat merupakan salah satu daripada 5 rukun islam. bagaimanakah cara untuk mengira zakat?

Klik link di bawah untuk kalkulator zakat;

Zakat Pendapatan


Zakat Wang Simpanan

Zakat Emas dan Perak


Zakat Saham

Zakat KWSP


Zakat Perniagaan


Oleh kerana saya orang Selangor, maka saya memberi link untuk rakyat Selangor mengira zakat. Untuk yang bermastautin di luar negeri Selangor, saya tidak pasti boleh atau tidak membayar zakat di PPZ Selangor, jika tidak boleh, maka bolehlah pembaca mencari laman web pusat pungutan zakat negeri anda. dengan entri kali ini, sekurang-kurangnya kita tahu jenis-jenis zakat yang perlu kita tunaikan sebagai seorang islam.

untuk info yang lebih lanjut, boleh layari laman web Zakat Selangor.

Feb 12, 2011

Virus-virus ukhwah

Oleh Akhuna Hamdan Ibrahim, Warsaw Poland.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh...

Alhamdulillah, baru2 ni ade membace sebuah buku..erm..actually pdf buku tu je..takde buku yg sebenar..hehe..

Tajuknya Virus-virus Ukhuwah dan dikarang oleh Abu 'Ashim Hisyam bin Abdul Qadir Uqdah

Mungkin ade di kalangan kalian yang telah pun membace buku tu..

InsyaALLAH harini, saya akan cuba petik sedikit mutiara-mutiara yang saya dapat dari karya hebat ini utk renungan kite bersama!


(inilah buku yang sebenar yg tidak dimiliki~)

Mari Kita Mula~!!!

1. Ukhuwah adalah satu NIKMAT yang diberikan oleh Allah SWT kepada kite umat Islam.

"Dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat itu, sebagai orang-orang yang bersaudara." (Ali 'Imran 3: 103)





2. Ukhuwah dan pertautan hati tak akan terikat tanpa perkenan izin oleh Allah SWT, hatta jika manusia membelanjakan segenap hartanya sekalipun.

"Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." (Al Anfal 8:63)


3. Ganjaran orang-orang yang berukhuwah dan mencintai kerana Allah sangat besar.

"Orang-orang yang saling mencintai demi keagungan-Ku akan diberikan padanya mimbar dari cahaya yang dicemburui oleh para Nabi dan syuhada.” (HR Ahmad)

Pastu ade hadis yang menceritakan tentang 7 golongan yang mendapat naungan ALLAH di hari akhirat kelak di mana tidak ada naungan melainkan naunganNYA, salah satu dari tujuh golongan itu, adalah 2 orang yg berkasih sayang keranaNYA~!!



4. Namun, Ukhuwah yang terbentuk itupun kadang-kadang bisa 'TERUNGKAI' tatkala diserang virus-virusnya!

Baiklah, berikut adalah tips-tips untuk MEROSAKKAN ukhuwah yang dapati daripada buku tersebut (saya hanya senaraikan sebahagian je nih);



(a)Berbicaralah pada Saudaramu dengan Nada yang Tinggi dan Kasar (kalau mampu jerit, jeritlah)

"Dan lunakkanlah suaramu, sesungguhnya suara yang paling jelek adalah suara keledai" (Luqman 31: 19)

(b)Jangan Mendengar dan Jangan Menghargai Pendapatnya (sblm dia buka mulut lg, terus je ckp, cadangan itu tak sesuai)

'Atha' (ulama Salaf) pernah mengatakan; "Ada orang yang memberitahuku tentang suatu hadith, padahal aku telah mengetahuinya sebelum dia dilahirkan lagi, namun kesopanannya mendorongku untuk tetap mendengarnya hingga selesai."

(c)Selalulah Berbantahan dengannya walaupun Sekecil-kecil Perkara (carilah sebyk2 point utk bergaduh dgn dia)

"Tiada kaum yang menjadi sesat setelah mendapat petunjuk kecuali kerana mereka suka saling berbantah-bantahan. " (HR Ahmad, Tirmidzi dan Ibnu Majah)


(gambar diamik dari komik ASUH..hehe)


(d)Kritiklah dengan Keras Sehingga Perasaannya Terluka

Dr Abdullah Al Kathir pernah menceritakan; "Semua orang menyukai siapa saja yang memperbetulkan kesalahannya tanpa melukai perasaannya."

Ni ade 1 kisah..

Seorang lecturer sedang menyiapkan bahan ceramah yang akan disampaikan di dalam sebuah forum. Namun, bahan yang disusunnya terlalu la panjang dan 'detail' sehingga mungkin akan membosankan kalau student2 dia dengar nanti.

Dia pun meminta penilaian isterinya, "Bagaimana pendapatmu wahai zaujah mengenai bahan ceramah ini?" Dengan penuh bijak si isteri menjawab: "Bahan ceramah ini lebih sesuai dan sangat baik jika menjadi artikel untuk sebuah majalah ilmiah yang mengkaji tema-tema spesifik." Isterinya secara berhikmah, mengutuk eh2..mengkritik bahan itu terlalu panjang itu...

(e)Tegurlah Kesalahannya di Depan Orang Lain (bak kate pepatah lagi ramai lagi BAGUS!)

Imam Syafi'i pernah bersyair, nasihatilah diriku di kala aku sendiri jangan kau nasihati aku di tengah keramaian kerana nasihat di hadapan umum adalah sebahagian dari penghinaan yang tidak suka aku mendengarnya jika engkau enggan dan tetap melanggar kata-kataku maka jangan menyesal jika aku enggan menurutimu.



(f)Perbanyakkan 'Negative Thinking' kepadanya dan Jangan Maafkan Kesalahannya (ape saje dia buat, cuba sedaya upaya halakan ke arah yg buruk)

Fudhail bin 'Iyadh berkata, "Siapa mencari sahabat tanpa cacat, nescaya sepanjang hidupnya tidak mendapat sahabat."

Hasan bin Wahb pulak berkata: "Di antara hak-hak ukhuwah adalah memaafkan kesalahan sahabat dan terbuka atas segala kekurangannya."

(g)Jika ada Aib atau Rahsia yang Diketahui, Maka Sebarkanlah kepada Orang Ramai

"Jika seseorang diberitahu oleh sahabatnya mengenai suatu hal, lalu ia pergi, maka hal tersebut telah menjadi amanah (rahsia yang mesti dijaga) baginya."

(HR Daud, Tirmidzi dan Ahmad)

(h)Mudahlah Untuk Berprangsangka yang Bukan-bukan Tentang Dirinya

"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa" (Al Hujurat 49:12)

Umar Al Khattab pernah berkata, "Janganlah berprasangka terhadap setiap ucapan yang keluar dari lisan saudaramu kecuali dengan prasangka yang baik, selama kamu masih mendapatkan celah kebaikan dalam ucapannya itu."


(ape anti virus utk ukhuwwah yer?)


InsyaALLAH, begitulah sedikit sebanyak butir-butir hikmah yang dapat saya coretkan di sini. Semoga ia menjadi panduan kepada kita semua dalam berukhuwwah..

Sekian dulu..

Wassalam wbt..


Mohd Hamdan Haji Mohd Ibrahim
-If you can't fly, run. If you can't run, walk. If you can't walk, crawl, but, by all means, keep moving-

Feb 5, 2011

6 Golongan itu.

Assalamualaikum w.b.t.

Alhamdulillah, Allah telah beri kesempatan kepada saya untuk mendengar tazkirah oleh saudara Shahidi Jusoh di Surau an-Nur Davangere pada malam semalam. Ingin saya kongsikan rumusan tazkirah beliau di ruangan ini. Tajuk yang beliau sampaikan adalah 6 Golongan yang Sukar Menerima Dakwah.

Golongan 1 : Mereka yang menolak kebenaran.

firman Allah swt;

Sesungguhnya binatang (makhluk) yang seburuk-buruknya pada sisi Allah ialah orang-orang yang pekak dan tuli yang tidak mengerti apa-apa pun. [al Anfal, 8:22]

elakkan diri kita dari memekakkan telinga dari menerima kebenaran, kerana itulah seburuk-buruk makhluk. terimalah dan fahamilah segala yang diturunkan dalam Al-qur'an dan as-sunnah, kerana itulah pegangan hidup kita di muka bumi ini.

Golongan 2 : Taksub dengan tradisi.

firman Allah swt;

Dan apabila dikatakan kepada mereka: "Ikutilah apa yang telah diturunkan Allah," mereka menjawab: "(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami". "(Apakah mereka akan mengikuti juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun, dan tidak mendapat petunjuk?" [al Baqarah, 2:170]

ingatlah, ketaksuban kita kepada sesuatu perkara akan membawa kepada fanatisme yang melampau. fanatisme dapat menyesatkan kita dari mendengar pendapat orang lain. beberapa tradisi yang diamalkan turun temurun oleh masyarakat kita bukanlah dari ajaran islam, antaranya kepercayaan kepada benda karut, mandi bunga untuk mudah dapat jodoh, dan pelbagai lagi tradisi-tradisi yang boleh merosakkan aqidah kita. ingat, tidak semua tradisi boleh kita ikuti, tetapi selagi mana ia tidak bertentangan dengan al-qur'an dan as-sunnah, diharuskan kita mengikut tradisi tersebut.

Golongan 3 : Menyangka pendapat majoriti adalah yang benar.

sabda Rasulullah s.a.w;

Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing), dan ia akan kembali dagang (asing) pula. Maka beruntunglah orang-orang yang dagang (asing) [HR Muslim]

tidak semestinya pendapat majoriti itu adalah benar. kerana Rasulullah s.a.w juga telah berpesan 1400 tahun dahulu, bahawasanya islam akan kembali menjadi asing. kita dapat lihat sekarang, jauhkah islam dari diri kita? jauhkah islam dari masyarakat kita? jika jawapan anda adalah 'ya', maka zaman kitalah yang Rasulullah maksudkan dengan islam yang asing itu. maka berpegang teguhlah dengan al-Qur'an dan as-Sunnah, agar kita tidak terpedaya dengan suasana majoriti yang hanyut ditelan kenikmatan dunia.

Golongan 4 : Golongan yang sangka mereka lebih berilmu.

Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu. [al Mu'min, 40:83]

ilmu kita tidaklah seluas ilmu Allah. bahkan, ilmu kita bagaikan setitis air, dan ilmu Allah lebih luas dari segala air dalam lautan dunia ini. janganlah kita rasa kita ada banyak ilmu, apabila ditegur oleh insan yang barangkali kurang ilmu dari kita, kita memperolokkan insan tersebut. kerana tiada manusia yang tahu segala ilmu.

Golongan 5 : Golongan yang mempunyai pangkat, harta, dan kuasa.

Maka apabila manusia ditimpa bahaya ia menyeru Kami, kemudian apabila Kami berikan kepadanya nikmat dari Kami ia berkata: "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah karena kepintaranku". Sebenarnya itu adalah ujian, tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui. [az Zumar, 39:49]

Karun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada padaku". Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu, tentang dosa-dosa mereka. [al Qashash, 28:78]

Harta, pangkat, dan kuasa, merupakan ujian yang berat di dunia ini. ramai yang menyanjung mereka yang mempunyai harta, pangkat, dan kuasa, sehinggakan mereka takbur dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka, dan mereka mengatakan "Sesungguhnya aku diberi nikmat itu hanyalah karena kepintaranku". na'uzubillah, ingatlah, semua nikmat datang dari Allah, kita hanya meminjam nikmat tersebut, jangan terpedaya dengan bisikan syaitan yang menghasut kita untuk bangga diri atas pencapaian kita.

Golongan 6 : Suka bersangka buruk

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka, sesungguhnya sebagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu menggunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima tobat lagi Maha Penyayang. [al Hujuraat, 49:12]

jauhilah dari prasangka buruk, kerana itu tandanya kita mempunyai kekotoran di dalam hati. sucikanlah hati kita daripada penyakit-penyakit hati ini.

KESIMPULAN:

bukanlah 6 golongan di atas tidak boleh kita berdakwah dengan mereka, tetapi intipati yang terpenting dalam tazkirah tersebut adalah sebagai kesedaran kita agar tidak menjadi salah seorang daripada golongan-golongan tersebut, kerana apabila kita terjerumus ke dalam mana-mana golongan itu, hati kita akan terkunci dalam menerima dakwah yang benar walaupun sejelas kaca. Ya Allah, janganlah Engkau kunci hati-hati kami dari menerima kebenaran dariMu.

semoga bermanfaat.