May 29, 2010

Tajarrud. Ini adalah pengorbanan jiwa!

Dengarlah laungan suara Ibnu al-Jauzi di pantai Dajlah di Baghdad:

"Langkah pertama di jalan ini ialah pengorbanan jiwa.

Ini adalah serius. Siapakah yang hendak melaluinya?"


Kesungguhan Al-Kailani Menerangkan Kewajipan Dakwah:
Kita cenderung untuk beriya-iya benar menerangkan wajib dakwah ini dan mengganggapnya sebagai muntalaq. Perkara ini sebenarnya sama seperti yang telah dilakukan oleh al-Syeikh Abdul Qadir al-Kailani Rahimahullah. Dalam khutbah setiap minggunya, beliau terus menerus mengingatkan penduduk Baghdad. Atau lebih tepat, beliau memberi peringatan kepada pemuda-pemuda terpilih yang datang berhimpun dari seluruh dunia ke ibu negara Islam, Baghdad.

Marilah kita jejaki bersama-sama Imam al-Kailani di zamannya itu. Beliau menyifatkan pada da’i dengan katanya:
“Mereka itu berada di maqam dakwah, menyeru manusia untuk mengenali Allah swt., sentiasa menyeru hati-hati manusia.”

Beliau menganggap peluang yang diberikan Allah S.W.T. kepada seseorang hamba untuk berada di maqam dakwah ini adalah merupakan sebesar-besar nikmat. Sibuknya hamba itu di dalam dakwah adalah menjadi bukti benarnya dia sebagai pengikut dan penyambung tugas Nabi S.A.W.

Baginda Rasulullah saw adalah da'i dan penunjuk. Apabila Baginda saw wafat, Allah telah memilih pengganti dari kalangan umatnya. Mereka tidak ramai, hanya beberapa individu sahaja dari tiap-tiap sejuta. Mereka memandu umat, bersabar menghadapi tekanan dan gangguan manusia. Mereka terus-menerus memberi nasihat, tersenyum berhadapan dengan orang munafik dan fasik. Mereka berusaha dengan pelbagai cara untuk melepaskan manusia dari nifaq dan fasik dan membawa manusia kepada Allah Azza Wajalla.
Kemudian al-Kailani menyeru supaya mematikan hawa nafsu yang jahat 'ammarah' yang mengajak kepada kejahatan, supaya tercapai kehidupan dakwah.

Syeikh al-Kailani kemudiannya meringkaskan sifat-sifat da’i dan syarat-syarat tauthiq (syarat-syarat utk mendapatkan perakuan thiqah) di dalam satu sifat yang ringkas dan padat; iaitu sifat tajarrud kamil (sifat tajarrud yang sempurna) dan tenggelam sepenuh dirinya ke dalam dakwah.
Da’i itu lupa dirinya. Dia tidak nampak kecuali mad'unya. Perkataannya hanya yang memberi kebaikan kepada mad’unya. Dunia da’i adalah luas tanpa had, tanpa perniagaan, tiada keinginan sendiri dan tiada mengejar pangkat. Semua itu tiada dalam dunianya. Yang ada di dalam dunia da’i hanyalah para mad’u yang didakwahnya. Itulah perniagaannya, keseronokannya dan pangkatnya.

“Dia seolah-olah manusia tanpa nafsu, tanpa keinginan dan tanpa keseronokan dunia. Dia lupa makan minum dan pakaiannya. Bahkan lupa dirinya sendiri kerana mengenangkan makhluk Allah S.W.T. Di dalam hatinya tidak ada dirinya. Yang ada hanyalah makhluk Allah S.W.T (yang menjadi mad’unya). Apa yang dimintanya hanyalah perkara yang boleh membawa kebaikan kepada manusia kerana dia telah menyerahkan dirinya kepada qada' Allah S.W.T.”

Itulah da'i contoh. Itulah sifat orang yang ingin menjadi “qa’idah sulbah” (core group) di mana Islam hari ini akan dapat dibina.

Demi Allah, dakwah ini tidak akan berjaya dan sampai ke mana sekiranya kita hanya memberikannya waktu lebihan untuknya, dan kita belum melupai diri dan makan minum kita.

Jahiliyyah abad ke dua puluh ini telah menambahkan lagi kegelapan zaman mutakhir ini segelap-gelapnya.

Al-Zahid Ruwaim berkata:
“Ia adalah pengorbanan jiwa, kalau tidak (maknanya) kamu menyibukkan diri dengan kerja tak guna.”

Demi Allah, demikianlah gaya hidup da’i !

-Bab 7 : Jihad dengan Hujah-Bab 14 : Kriteria Generasi Pengasas
Muntalaq

[disalin dari artikel badarktt yahoo group, dari kak nurani. harap ia menjadi penyunting semangat kita]

*da'i = pendakwah
**mad'u = insan yang dakwahkan

May 20, 2010

Tujuh Golongan

Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda; Ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi oleh Allah di bawah naunganNya. Hari tersebut tidak ada naungan kecuali naungan Allah. Golongan tersebut ialah;

1. Pemimpin yang adil.

2. Pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah semasa hidupnya.


3. Pemuda yang jiwanya sentiasa terpaut pada masjid-masjid.

4. Dua pemuda yang saling mengasihi kerana Allah iaitu kedua-duanya berkumpul dan berpisah kerana Allah.

5. Seorang lelaki yang diundang oleh seorang perempuan yang mempunyai kedudukan dan paras rupa yang cantik untuk melakukan kejahatan (zina) tetapi dia berkata, "Aku takut kepada Allah!"


6. Seorang yang memberi sedekah tetapi dia merahsiakannya seolah-olah tangan kiri tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanannya.

7. Seseorang yang mengingati Allah di waktu sunyi sehingga mengalir air mata dari kedua matanya."

[HR Muslim]