Aug 18, 2010

Ramadhan, telah kita perbaiki diri?

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Nabi (saw) mengingatkan kita bahawa di kalangan orang yang berpuasa, ada yang tidak memperolehi apa-apa kecuali lapar dan dahaga. Dan di sana pula terdapat golongan yang berpuasa dan memperoleh pelbagai keistimewaan dan keberkatan. Di dalam spektrum yang begitu luas, di manakah kita?

Untuk mencapai darjat tertinggi yang dianugerahkan kepada orang yang berpuasa, kita perlu memenuhi syarat lahiriahnya yakni menahan diri dari makan, minum dan perkara lain yang membatalkan puasa. Kita perlu juga menghidupkan sunat dan adab puasa seperti bersahur, menyegerakan berbuka, bertarawih, bersedekah dan membaca al-Quran.

Tetapi itu saja tidak mencukupi. Menurut Sheikh Said Hawwa di dalam kitabnya al-Mustakhlas fi Tazkiyatun Nafsi, terdapat enam syarat tambahan yang perlu diberi perhatian oleh orang yang benar-benar berhajat meninggikan kualiti puasanya:

a. Memejamkan mata serta mengekangnya jangan sampai memperluas, atau memperdalamkan penglihatan, yakni melihat dengan berlebih-lebihan kepada segala sesuatu yang tercela dan tidak baik dan dibenci oleh agama. Demikian pula melihat apa saja yang menyebabkan hati terpesona, sehingga lalai daripada mengingati Allah.

b. Menjaga lisan dari perkataan yang tidak masuk akal atau senda-gurau yang melampaui batas, atau berkata kotor, atau berkata yang sia-sia, atau berdusta atau mengumpat, atau mengadu domba atau berkata jijik, atau bertengkar atau memamerkan diri sendiri. Sebaliknya hendaklah diam atau mengurangkan bicara yang tidak perlu dan menyibukkan diri dengan berzikir kepada Allah gemar membaca al-Quran atau kitab-kitab agama.

c. Menahan diri dari mendengar apa yang tidak disenangi dari ukuran agama, sebab setiap perkara yang haram diucapkan maka menjadi haram mendengarnya.

d. Menahan anggota-anggota tubuh yang lain dari perbuatan dosa khususnya tangan dan kaki jangan sampai melakukan hal-hal yang terlarang menurut kacamata agama. Begitu juga menahan perut dari makan apa-apa yang bukan sahaja haram tetapi juga yang syubhat, terutama di saat berbuka puasa.

e. Menahan diri dari terlalu banyak makan atau menyediakan pelbagai makanan ketika berbuka, sekalipun makanannya halal, sehingga perut sekan-akan tidak memuatnya lagi. Sebab tiada wadah yang lebih dibenci oleh Allah daripada perut yang penuh terisi. Puasa ialah untuk mematahkan segala macam kesyahwatan, maka adakah orang yang puasa itu wajar memupuk kembali syahwatnya ketika berbuka? Sepanjang hari ia menekan nafsu maka ia adakah bermaksud membalas dendam nanti pada waktu berbuka?

f. Pada siangnya, masih ketika berpuasa, ia membeli ini dan itu yang berupa makanan dan waktu berbuka akan dihabiskan semua sekali. Maka tujuan puasa untuk melemahkan nafsu syahwat tetap tidak berhasil. Sewajarnya, sediakanlah makanan dan makanlah sekadar seperti mana hari-hari biasa pada bulan lain, tanpa berlebih-lebihan atau mengistimewakannya sehingga merangsang lagi nafsu.

g. Hendaklah hatinya menggantung harap dan takut mengenai diterima atau tidak puasanya hari itu. Hatinya berdebar-debar dan tidak tenteram; kerana belum ada kepastian. Jika diterima, pasti termasuk dalam golongan almuqarrabin yang mempunyai pelbagai keistimewaan. Jika tidak, maka pasti tergolong ke dalam golongan yang tertolak amalannya, lagi dimarahi dan dimurkai-Nya. Orang yang tertipu oleh dirinya sendiri mengira ibadatnya pasti diterima, padahal ada kemungkinan tidak demikian. Nanti pada hari kiamat ia akan terkejut mengapa Allah tidak menerima amalannya!

Semoga Allah swt menerima membantu kita mengamalkan dan istiqamah dengan keenam-enam perkara di atas ke arah meningkatkan kualiti puasa kita.

Sumber: perkongsian oleh brother akram

disalin dari sini. (dikemaskini setiap hari oleh ukht wan farah, sumber dari brother akram)

Aug 4, 2010

Ramadhan, dan amalan sunnahnya.


Assalamualaikum w.b.t.

Ramadhan bakal menjelma lagi. Bulan barakah yang dinantikan oleh setiap insan yang bertaqwa. Bulan mulia, bahkan satu-satunya bulan yang disebut dalam kitabullah;

(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeda (antara yang hak dan yang batil). Karena itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barang siapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. [al Baqarah, 2:185]
Maka, dalam bulan Ramadhan ini, apakah amalan yang biasa dilakukan oleh imam kita, Rasulullah s.a.w.?

1. Berpuasa.

Kata Nabi: "Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas" [Riwayat Bukhari & Muslim]


2. Membaca Al-Qur'an.

Nabi SallaLlahu `alaihi wasallam menceritakan bahawa Jibril `alayhi s-salam membacakannya Al-Qur'an setiap tahun sekali pada bulan Ramadhan, dan pada tahun kewafatan baginda sebanyak 2 kali. [Riwayat Bukhari & Muslim]

Jibril menemuinya (Nabi SallaLlahu `alayhi wasallam) pada setiap malam di bulan Ramadan hingga bulan itu berlalu. Nabi SallaLlahu `alayhi wasallam memperdengarkan bacaan Al-Qur'an kepadanya. [Riwayat Bukhari]



3. Qiyamullayl.

Kata Nabi: "Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas" [Riwayat Bukhari & Muslim]

Abi Zar meriwayatkan Nabi SallaLahu`alayhi wasallam bangun bersolat bersama-sama mereka pada malam ke-23 sehingga satu pertiga malam, dan pada malam ke-25 sehingga separuh malam. Para sahabat berkata kepada baginda SallaLhua `alayhi wasallam: "Kalaulah tuan terus sempurnakan saki-baki malam kami dengan solat sunat". Maka Nabi SaLlahu `alayhi wasallam berkata: "Sesiapa yang berdiri bersama imam sehingga dia (imam) beredar, dituliskan baginya ganjaran orang yang qiyam semalaman" [Riwayat Tirmizi - sahih]



4. Sadaqah.

Kata Ibnu `Abbas: "Rasulullah SallaLlahu `alayhi wasallam adalah manusia yang sangat pemurah dan baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadhan..." [Riwayat Bukhari]



5. Memberi Makan Kepada Orang Yang Berpuasa.

Kata Nabi: "Sesiapa yang memberi makan orang yang berpuasa, dia akan mendapat pahala sepertinya dan ianya tidak akan mengurangkan pahala orang yang berpuasa sedikit pun" [Riwayat Tirmizi - sahih]



6. Menjaga Lidah, Menjauhi Berdusta, Tidak Mencaci, Tidak Bergaduh.

Kata Nabi: "Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta dan terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat agar dia meninggalkan makanan dan minumannya (berpuasa)" [Riwayat Bukhari]

Kata Nabi: "Jika seseorang daripada kamu mula berpuasa maka janganlah dia melakukan rafath (melakukan perkara-perkara yang membangkitkan nafsu) dan janganlah dia bergaduh, sekiranya seseorang mencaci atau memusuhinya maka hendaklah dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa! Sesungguhnya aku berpuasa!" [Riwayat Muslim]



7. `Umrah.

Kata Nabi: "Satu umrah pada bulan Ramadhan ganjarannya menyamai satu haji". Dalam riwayat yang lain: "Menyamai satu haji bersamaku". [Riwayat Bukhari & Muslim]



8. I`tikaf.

Kata `A'isyah RadhiyaLlahu `anha: "Nabi SallaLlahu `alayhi wasallam beri`tikaf pada 10 terakhir Ramadhan sehingga Allah mewafatkan baginda. Kemudian, isteri-isterinya terus beri`tikaf selepasnya" [Riwayat Bukhari]



9. Mencari dan Beribadat Pada Malam Al-Qadr (Laylatu l-Qadr).

Kata Nabi: "Carilah Laylatu l-Qadr pada 10 terakhir daripada Ramadhan" [Riwayat Bukhari & Muslim]

Kata Nabi: "Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam Al-Qadr (Laylatu l-Qadr) dengan penuh keimanan dan ihtisab maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas" [Riwayat Bukhari & Muslim]



10. Bersegera Berbuka Puasa.

Kata Nabi: "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepanjang kamu menyegerakan berbuka" [Riwayat Bukhari]


mari kita manfaatkan bulan ini sepenuhnya! ahlan wa sahlan ya ramadhan =)


[jazakallah kepada akh hafizi atas sumbangan dalil-dalil tersebut, klik di sini untuk sumber]