Jun 20, 2011

Tawakal

Pernahkah kita dalam mencapai suatu perkara, setelah kita berpenat lelah dan seratus peratus meletakkan tenaga dan keupayaan kita dan setelah kita yakin kita telah memberikan seluruh sumber yang ada namun hati kita masih resah seolah dunia masih tidak mengiktiraf usaha kita? Mungkin kerana kealpaan kita, kita terlupa yang Dia lah penentu segalanya. Dialah yang menentukan nilai rezeki dan setiap sesuatu untuk setiap daripada kita.

Firman Nya :
“Dan Dia memberikan rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka. Dan barangsiapa bertawakal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan keperluannya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah menentukan bagi setiap sesuatu” QS 65:3.

Tawakal daripada suku kata perkataan arabnya bermaksud mewakilkan urusan kepada pihak yang lain. Dan maksud ini dapat kita perluaskan lagi sebagai kepercayaan hati kepada wakil satu-satunya.

Dalam kita meletakkan perwakilan bagi suatu urusan kita, pastinya wakil kita itu diyakini kebenarannya (muntahal-hidayah), diyakini yang paling kuat (muntahal-quwwah), diyakini paling lancar (muntahal-fashahah) dan juga diyakini paling perhatian dan kasih sayang (muntahas-syafaqah). Bukankah semua sifat ini hanyalah milik Dia? Adakah makhluk yang diciptakanNya mempunyai semua sifat dia atas untuk kita sandarkan kepercayaan kita? Mana mungkin kerana hanya dari Dialah segalanya datang, dan kepadaNya segalanya kembali.

Di dalam kita menghadapi cabaran, Allah telah menyuruh kita untuk berserah kepadaNya. Namun ini bukanlah bermakna kita tidak perlu melakukan apa-apa dalam kita mencapai sesuatu itu. Firmannya lagi:

“ketika dua golongan dari pihak kamu ingin mundur kerana takut, padahal Allah adalah Penolong mereka. Kerana itu, hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakkal” QS 3;122

Bila kita hendak capai sesuatu, keinginan dan cita-cita tu hanya akan jadi mimpi dan angan-angan kosong yang tidak bernilai kalau kita tidak sertakan sekali dengan usaha. Rezeki tidak datang bergolek kalau kita tidak ikhtiar untuk cari. Dan pada usaha itulah hasil kita akan terjadi.

Tetapi usaha semata tidak bernilai di sisi Allah jika kita hanya mengharapkan usaha kita sedangkan kita lupa untuk meletakkan Allah sebagai yang Menentu. Jangan sekali kita meletakkan usaha kita menjadi neraca hasil kerana bukankah itu seolah kita mengiktiraf diri kita bagaikan berkuasa dan tidak perlu mengharap pada Ilahi?.Andai inilah yang kita lakukan, secara sendirinya kita menghitamkan hati kita dengan riya’ dan takabbur. Sedangkan hasil suatu itu adalah ketentuanNya, nikmatnya untuk memberikan menurut pertimbanganNya. Mungkin terjadi, mungkin tidak.

Namun Allah menjanjikan nikmat yang tidak disangka-sangka bagi mereka yang bertawakkal. Rasulullah bersabda :

“Jika kamu bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benarnya tawakkal maka Allah memberikan rezeki kepadamu sebagaimana Allah memberikan rezeki kepada burung, pagi keluar sarang dalam keadaan lapar, dan petangnya pulang ke sarang dalam keadaan kenyang.” HR At Tirmidziy.

Dalam bertawakal ada peringkat-peringkat yang boleh dijadikan kayu ukur kebergantungan kita;

a. Ketergantungan seseorang kepada Allah atas perlindungan dan pemenuhan keinginannya, sebagaimana keterikatan seorang pelanggan kepada pengacaranya. Ia menyerahkan sesuatu namun tiba suatu saat ia dapat mengambil kembali perjanjian, dan menyerahkannya kepada pihak lain, yang lebih dipercayai.

b. Kebergantungan seseorang kepada Allah bagaikan kebergantungan seoran bayi terhadap ibunya. Ia tidak mengenal orang lain selain ibunya, tidak merengek dan meminta susu kecuali kepada ibunya, ia tidak berserah diri kecuali kepada ibunya. Namun bayi itu dapat juga berbuat sesuatu yang diinginkannya di luar pengetahuan orang tuanya. Kebergantungannya kepada orang tau karena ketergantungan adanya keinginan yang tiada pada orang lain, selain ibunya.

c. Kebergantungan seseorang kepada Allah bagaikan kebergantungan seorang jenazah terhadap orang yang memandikannya. Si arwah tidak tahu lagi apa pun yang diperbuat oleh orang yang memandikannya. Ia menyerah terhadap perlakuan apapun yang diberikan kepadanya.
Maka kita jejaki kembali tawakkal kita, adakah sudah kita benar-benar mengharapkan dari Ilahi yang sepenuh-penuh takwa seperti yang dituntut ke atas kita.

Bila kita melakukan tawakkal, bukankah itu lebih tenang di hati kerana kita yakin Allah telah menentukan rezeki untuk setiap kita yang masing-masing ada bahagian sendiri. Bila kita yakin suatu rezeki itu ditentukan untuk kita, maka tidak perlu kita takut untuk orang lain mendapatnya pula.

Namun kita tidak akan tahu apa rezeki yang akan diberikan kepada kita kerana suatu usaha itu mungkin tidak mendatangkan hasil seperti yang kita harapkan. Mungkin lebih dari kita harapkan atau mungkin lebih teruk daripada jangkaan kita. Tapi bagi seorang yang hidupnya penuh dengan tawakkal kepada Allah tahu dan yakin bahawa itulah rezeki yang ditetapkan untuknya yang datang bukan sebagai ganjaran atau balasan kepada dia, namun sekadar ujian untuk menguji secebis iman di dada. Ini kerana dia yakin, segala apa yang dilakukan di dunia adalah kerana untuk memetik ganjarannya di syurga sana. Kita hanyalah penyemai benih keimanan dan diindahkan dengan tawakkal kerana tawakkal itu satu daripada pembuktian iman, yang meyakini Dialah segalanya, yang dinantikan bukan hasil dan ganjaran di muka bumi, tetapi adalah ganjaran abadi syurga firdausi. Dan kerana itulah orang yang benar bertawakkal, dia tidak akan takut untuk berusaha kerana tahu rezekinya datang dengan tidak disangka-sangka, dia akan terus berusaha untuk masa depannya, terus berusaha untuk mengatasi masalah yang dihadapinya disamping berusaha mengelak musibah kepada dirinya kerana dia yakin, setiap usaha yang dilakukannya hanyalah wasilah yang akan membenarkan dia untuk menggapai cinta Ilahi di jannah Ilahi..

“Suatu tawakkal dan keyakinan yang kuat tanpa ikhtiar yang mengiringinya maka tidaklah sempurna, dan setinggi-tinggi ikhtiar akan sia-sia tanpa tawakkal, meyerah kepadaNya. Tawakkal yang benar adalah ikhtiar yang semaksimum mungkin disertakan keyakinan bahawa Dia lah penentu segalanya.”

Moga kita bertawakkal dengan sebenar tawakkal, diiringi dengan keikhlasan semata untukNya.
Wallahua’lam..

sumber dari dakwah.info

Jun 5, 2011

Zikir Sebagai Penawar Hati

ZIKIR SEBAGAI PENAWAR HATI

Allah berfirman dalam surah ar-Ra’d, ayat ke 28, maksudnya;

“(yaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah (zikrullah). Ingatlah, hanya dengan mengingat Allah-lah hati menjadi tenteram.” [ar-Ra’d, 13:28]

Zikir dari erti bahasa bermakna ‘mengingati’. Maka ‘zikrullah’ dalam ayat di atas bermaksud ‘mengingati Allah’.

Zikir bukanlah hanya dengan melafazkan sesuatu perkataan secara berulang-ulang, tetapi zikir adalah sesuatu peringatan mengenai sesuatu perkara.

Itulah datangnya perkataan ‘tazkirah’, yang berasal dari kata akar ‘zikir’.

Kita sebagai pelajar perubatan dan pergigian di perantauan ini, adalah satu kewajipan untuk kita ‘berzikir’ mengenai bidang Anatomy, Pathology, Ophthalmology, Dental Material, dan pelbagai lagi bidang yang perlu kita sentiasa ‘berzikir’. Itulah tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar yang ‘dibayar’ sepenuh masa untuk belajar di India ini.

Maka, apakah pula tanggungjawab kita sebagai seorang hamba Allah, yang menghidupkan kita sejak dari rahim ibu sehingga sekarang? Selain daripada ibadah khusus seperti melazimkan syahadatain, solat, puasa, zakat, dan haji, kita juga dianjurkan untuk ‘mengingati Allah’ (zikrullah) pada setiap masa, sepertimana dalam hadis yang shahih;

Dari ‘Aisyah r.a berkata; “Rasulullah s.a.w selalu berzikir kepada Allah setiap saat” [Hadis Riwayat Muslim]

Allah sentiasa mengingati hamba-hambaNya yang mengingatiNya;

“Fadzkuruni adzkurkum” = Ingatlah kamu sekalian kepadaKu nescaya Aku ingat (pula) kepadamu [al Baqarah, 2:152]

Memperbanyakkan zikir kepada Allah adalah antara amalan yang paling utama dalam Islam, sepertimana firman Allah swt;

Wahai orang-orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah dengan zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah (mengucapkan subhanAllah) kepada-Nya di waktu pagi dan petang. [al-Ahzab, 33:41-42]

Jenis-jenis zikir lisan

Selain daripada zikir dari segi tazkirah (peringatan) yang kita selalu lakukan setiap Khamis dan Jumaat (dan Ahad istimewa untuk muslimat), dianjurkan juga untuk kita berzikir dengan menyebut namaNya dan memujiNya.

Antara jenis lafaz zikir adalah;

1) Tasbih = melafazkan “subhanAllah”

2) Tahmid = melafazkan “alhamdulillah”

3) Takbir = melafazkan “Allahu akbar”

4) Tahlil = melafazkan “La ilaha illAllah”

Berzikir, tidak perlu mengeraskan suara sehingga mengganggu orang lain

Anjuran berzikir ini sangat penting, tetapi apabila sedang ‘mengingati Allah’, cukup dengan sekadar suara yang perlahan dan tidak mengganggu orang lain.

Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai. [al-A’raf, 7:205]

Keutamaan berzikir

Dari Abu Hurairah r.a bahawasanya orang-orang fakir dari sahabat Muhajirin datang kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: “Orang-orang kaya telah mendapatkan darjat yang tinggi dan kebahagiaan yang abadi, di mana mereka solat sebagaimana kami solat, mereka berpuasa sebagaimana kami berpuasa, mereka mempunyai kelebihan harta sehingga mampu menunaikan haji, umrah, berjuang dan bersedekah”

Rasulullah s.a.w bertanya: “Mahukah kamu sekalian aku ajari sesuatu yang dapat mengejar pahala orang-orang yang telah mendahului kamu dan juga orang-orang sesudahmu nanti serta tidak ada seorang pun yang lebih utama daripada kamu sekalian kecuali orang yang berbuat seperti apa yang kalian perbuat?”

Mereka menjawab: “Baiklah wahai Rasulullah”. Beliau (Rasulullah) bersabda: “Iaitu kamu sekalian membaca tasbih, tahmid, dan takbir tiga puluh tiga kali setiap selesai solat”

Abu Shalih, orang yang meriwayatkan hadis ini dari Abu Hurairah berkata: “Ketika beliau ditanya tentang bagaimana cara mengucapkannya, beliau bersabda: SubhanAllah, Alhamdulillah, Allahu Akbar; masing-masing dari ketiga kalimat itu dibaca tiga puluh tiga kali”.

[Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Dalam riwayat Muslim, ada tambahan: “Kemudian orang-orang fakir dari sahabat Muhajirin itu datang kembali kepada Rasulullah s.a.w dan berkata: “Setelah saudara-saudara kami yang kaya itu mendengar apa yang kami kerjakan, maka mereka mengerjakan seperti apa yang kami kerjakan”. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: “Itulah kurnia Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya”.

Dalam satu lagi hadis, ada menerangkan tentang amalan berzikir ini;

Dari Abu Hurairah r.a dari Rasulullah s.a.w, beliau bersabda: “Barangsiapa yang membaca tasbih 33 kali setiap selesai solat, membaca tahmid 33 kali, dan takbir 33 kali, kemudian untuk melengkapi bilangan 100, ia membaca: La ilaha illAllahu wahdahu la syarika lahu lahulmulku wa lahulhamdu wa huwa ‘ala kulli syai’in qadir maka diampunilah dosa-dosa walaupun dosa-dosa itu seperti buih di lautan”
[Hadis Riwayat Muslim]

Boleh kita simpulkan,

1. Bahawasanya zikir itu adalah peringatan. Zikrullah (mengingati Allah) sangat dituntut supaya hati kita senantiasa tenang dengan mengingatiNya.

2. Digalakkan untuk senantiasa memberi peringatan (tazkirah) kepada diri sendiri, rakan taulan, dan kaum keluarga agar kita istiqamah dalam menjadi hambaNya yang diredhai olehNya. Sesungguhnya kehidupan di dunia ini semata-mata untuk mencari keredhaanNya. Ya Allah, jauhilah kami dari kemurkaanMu. Sesungguhnya azabMu sangat pedih.

3. Disarankan oleh contoh ikutan kita Rasulullah s.a.w untuk melazimkan bertasbih, bertahmid, dan bertakbir masing-masing sebanyak 33 kali setelah mengerjakan solat

agar mendapat ampunanNya yang mengampunkan dosa-dosa kita walaupun sebanyak buih di lautan, masyaAllah! Sesungguhnya Rasulullah senantiasa meminta ampun kepadaNya walhal Rasulullah s.a.w seorang yang terpelihara dari dosa, apakah kita yang senantiasa berbuat dosa tidak pantas mengharap maghfirah (pengampunan) dariNya juga?

4. Sebaiknya kita berzikir secara perlahan dan tidak mengeraskan suara, kerana itulah yang terbaik yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. Menurut tafsir shahih Ibnu Katsir dalam tafsiran surah al-A’raf, ayat ke 205;


“Dia berfirman; ‘Dan dengan tidak mengeraskan suara’. Demikianlah zikir dianjurkan, iaitu tidak dengan seruan dan menyaringkan suara”

Dari Abu Musa al-Asy’ari, dia mengatakan: “Orang-orang mengeraskan suaranya dalam berdoa saat melakukan sebagian perjalanan, maka Nabi s.a.w bersabda: ‘Wahai manusia, kasihanilah diri kalian. Sebab kalian tidak menyeru yang tuli dan yang jauh, sesungguhnya Zat yang kalian seru adalah Maha Mendengar lagi sangat dekat’” [Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim]

Ayuh, mari amalkan tasbih (subhanAllah) 33 kali, tahmid (Alhamdulillah) 33 kali, dan takbir (Allahu Akbar) 33 kali, setiap kali selesai solat fardhu, kerana Rasulullah s.a.w sangat menuntutnya!

Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu contoh teladan yang baik bagimu [al Ahzab, 33:21]

(Artikel ini juga adalah tulisan saya dalam buletin mingguan DIYA)