Mar 8, 2012

Iman antara akal dan hati


Oleh: Dr. Majdi al-Hilaly



Jikalau akal adalah yang menggerakkan manusia, sudah tentu pengetahuan yang ada pada akal sahaja sudah cukup sebagai pendorong kepada tingkah laku. Namun sebenarnya tidak begitu. Dalam pada itu, keperluan ilmu pengetahuan sebagai pintu masuk paling asas untuk menyempurnakan ibadah dan kemudian terus beritiqamah, juga tidak cukup untuk mengubah tingkah laku ..Mengapa?!


Kerana yang melahirkan arahan-arahan bagi pergerakan sukarela di dalam diri manusia adalah hati dan bukan akal.


Jelasnya hati itu dianggap sebagai “pusat kehendak dan membuat keputusan”. Melalui hati bermula arahan perbuatan yang lahir dari kehendak sedangkan semua anggota yang lain sekadar melaksanakannya.


Sabda Rasulullah saw (bermaksud):


" Ingatlah, sesungguhnya di dalam jasad itu terdapat seketul daging. Apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak maka rosaklah seluruh jasad. Sesungguhnya ia adalah hati." (1).


Hati ini menghadapi tarikan dua kekuatan: "Kekuatan hawa" yang menepati kecenderungan dan keinginan nafsu, dan “kekuatan iman" (membenarkan dan menyakini) dengan fikiran dan kepercayaan yang ada di dalam akal. Mana yang lebih kuat antara keduanya semasa membuat keputusan itulah yang akan menguasai kehendak dan mengarahkan keputusan yang bersesuaian dengannya.


Justeru, apabila seorang muslim mendengar suara azan subuh, dia mahu bangun dari tidur untuk menunaikan solat, maka konflik mungkin timbul di dalamnya, antara keimanan dan kepercayaannya tentang keperluan untuk melakukan solat subuh itu dan antara hawa nafsunya dan rasa sayangnya untuk berehat, tidur mahupun tidak mahu bersusah payah. Oleh sebab itu, orang yang bangun untuk melakukan solat, maka yang membangunkannya ialah imannya yang ternyata lebih kuat daripada hawa nafsunya pada masa ini. Sekiranya dia terus tidur, maka hawa nafsunya telah menidurkannya yang ternyata lebih kuat berbanding imannya pada masa ini.


Jelaslah bahawa iman adalah pendorong untuk perlakuan yang positif. Firman Allah SWT (bermaksud ):


“Sesiapa yang menghormati Syiar-syiar ugama Allah maka (dia lah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan dari sifat-sifat taqwa hati orang mukmin.” (Al-Hajj: 32).


Sementara hawa nafsu adalah pendorong untuk perlakuan yang negatif. Firman Allah SWT (bermaksud ):


“Kalau mereka tidak dapat menerima cabaranmu (wahai Muhammad), maka ketahuilah, sesungguhnya mereka hanyalah menurut hawa nafsu mereka.” (Al-Qasas: 50).


Ini bermakna jika tidak berlaku kepada pengetahuan dan kepercayaan yang ada pada akal dan minda ketenangan dan keyakinan hati yang cukup untuk menentang dan mengalahkan hawa nafsu yang berlawanan dengan kepercayaan, maka kepercayaan ini tidak akan diterjemahkan ke dalam tindakan yang praktikal. Dengan demikian, menjadikan perkataan dan kepercayaan seseorang di satu pihak dan perlakuan di satu pihak yang lain.


Oleh itu, adalah tidak cukup seseorang itu sekadar memiliki satu fikiran untuk menjalankan tuntutannya dalam realiti praktikal, malahan ia mesti menukarkan fikiran ini kepada iman yang mendalam di dalam hati yang dapat mengalahkan hawa nafsu.


Di samping itu, adalah tidak cukup terdapat iman di dalam hati melalui fikiran untuk menghasilkan perlakuan yang menterjemahkan fikirannya, malah ia mestilah menjadikan imannya lebih kuat daripada hawa nafsu yang berlawanan dengan fikiran ini supaya dia boleh menang semasa ia membuat keputusan. Lantaran itu, betapa pentingnya sentiasamemberikan makanan untuk iman ini supaya seorang muslim mampu menentang dan mengalahkan hawa nafsunya secara berterusan.


Justeru, pengetahuan akal tidak cukup untuk menjelmakan amal secara konsisten dan melaksanakan kewajipan beribadah kepada Allah swt, malah ia mestilah menukarkan pengetahuan ini ke dalam iman yang mendalam yang kukuh akar umbinya di dalam hati seterusnya dapat mengalahkan hawa nafsu agar kesannya tercerna ke atas perlakuan dan tindakan.


Kita mestilah menundukkan fikiran dengan rasa hati untuk membangkitkan iman dengan izin Allah. Ini dapat dilihat di dalam ayat:


“Dan juga supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ayat-ayat keterangan itu benar dari Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, sehingga tunduk taatlah hati mereka mematuhinya.” (Al-Hajj: 54).


Al-Quran memberitahu kita tentang orang-orang yang mengaku Rububiyyah Allah SWT ke atas semua makhluk-Nya dan penguasaan-Nya terhadap segala urusan mereka. Walaupun dengan pengakuan ini, mereka tetap tidak takut dan tidak menyerah diri kepada-Nya. Ini mengesahkan bahawa pengakuan mereka ini sekadar pengakuan dari segi akal semata-mata dan tidak membibitkan iman di dalam hatinya. Di antara ayat yang memberitahu kita tentang hal ini ialah firman Allah (bermaksud):


“Tanyakanlah (wahai Muhammad): “Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalau kamu mengetahui?” Mereka akan menjawab: “Kepunyaan Allah”. Katakanlah: “Mengapa kamu tidak mahu ingat (dan insaf)?” Tanyakanlah lagi: “Siapakah Tuhan yang memiliki dan mentadbirkan langit yang tujuh, dan Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar?” Mereka akan menjawab: “(Semuanya) kepunyaan Allah”. Katakanlah: “Mengapa kamu tidak mahu bertaqwa?” (Al-Mukminun: 84-87)


Dari sini menunjukkan betapa pentingnya pendidikan iman; kerana pendidikan pengetahuan hanya bertujuan untuk mengembangkan akal dengan ilmu pengetahuan yang berguna dan mantap, iaitu pengetahuan tentang Allah SWT, sedangkan pendidikan hati yang betul bertujuan untuk meneguhkan dan memantapkan iman dengan pengetahuan ini hingga ilmu pengetahuan dikuasai oleh iman dan mampu mengawal hawa nafsu. Oleh itu, ianya menjadikan lebih mudah bagi anda untuk melaksanakan pelbagai bentuk ibadah.


Ini bermakna bahawa berlakunya perubahan sebenar dan positif dalam tingkah laku, mestilah berpunca dari memperbaiki hati dengan iman. Apabila kita melihat perubahan negatif dalam tingkah laku, maka sebaliknya yang berlaku, iaitu betapa kukuhnya kedudukan hawa nafsu di dalam hati dan kelemahan iman di dalamnya.


Mungkin melalui perbincangan tentang iman dan hubungannya dengan tingkah laku ini menjelaskan kita tentang fenomena jauhnya perbuatan daripada berkata-kata dan beramal daripada ilmu.


Oleh kerana itu, semakin banyak kelemahan iman semakin kuat kedudukan hawa nafsu kerana ruang hati hanya satu; berikutan dari itu akan memberi kesan buruk yang serius di mana akan meningkat dan berkurang mengikut tahap kelemahan iman.


Di antara kesan kelemahan iman ialah:


1. Anda mungkin mendapati orang yang banyak bercakap tentang nilai-nilai, contoh-contoh mahupun akhlak, tetapi beliau mengamalkan bertentangan dengan apa yang dicakapkan dan kadang-kadang anda mendapati orang yang cuba meninggalkan realiti buruk dirinya tetapi dia tidak mampu mengubahnya kerana hawa nafsunya telah menguasai kehendak dan mengawal kemahuannya.


2. Meringankan pada perkara yang tidak sepatutnya, memudah dan melambat-lambatkan dalam melaksanakan perintah-perintah agama, mencari-cari yang ringan dan mereka-reka alasan, dan mendatangkan pendapat yang kuat dan lemah untuk mengadakan alasan dan justifikasi bagi mengelakkan dari melaksanakan tuntutan agama secara yang sah.


3. Terlalu memberi perhatian tentang dunia dan bersungguh-sungguh mendapatkannya, memberi sepenuh penumpuan terhadapnya dan menyibukkan fikiran terhadapnya mahupun banyak berangan-angan dengan kekayaan dan kemewahan.

4. Terlalu memberi penumpuan tentang harta dan merasa sedih tatkala hartanya berkurang, sentiasa menghitung hartanya, banyak berfikir untuk mengembangkan harta, sentiasa menuntut hak-haknya daripada orang lain, sebaliknya kita dapati beliau cuba mengelak untuk melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab kewangan yang sempurna kepada mereka.


5. Kurang sifat wara’, terjatuh ke dalam ruang syubhat, dekat dengan ruang yang haram, seperti mudah menipu, berbohong dan tidak memberitahu perkara sebenar dan tidak memenuhi janji.


6. Tidak merasa kesal apabila terlepas perkara ketaatan atau terjatuh ke dalam dosa.


Menurut Abdullah bin Mas’ud r.a:


“Orang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang berada di kaki gunung; dia takut kalau gunung itu akan menghempapnya. Manakala ahli maksiat melihat dosanya hanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya maka mudah untuk menghalaunya.”


------------

* Nota kaki:

(1) Muttafaq Alaih: Bukhari (1/28, No. 52) dan Muslim (3/1219, No. 1599).

(2) Riwayat al-Bukhari (6308).

Sumber asal, klik di sini