Mar 22, 2009

Dr. Hasan Huwaidy ke rahmatullah.

dr-hasan-huwaidy

Dr. Hasan Huwaidy (1925 - 2009), Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin.


Dunia Arab dan Islam kehilangan besar seorang tokoh pejuang Islam Abad 20, Dr. Hasan Huwaidy, 84 tahun, Naib Mursyid Am Ikhwan Muslimin yang meninggal dunia semalam, pagi Jumaat 14/3/2009 di Amman, Jordan.


Dr Hasan Huwaidy dilahirkan di Dir Az-Zuur, Syria pada tahun 1925 di dalam keluarga yang kuat berpegang dengan Islam. Ayah beliau seorang yang dihormati, berpegang teguh dengan agama dan masjid yang banyak mempengaruhi dan mencorak keperibadian anak-anaknya. Dr Hasan Huwaidy mendapat ijazah dari Fakulti Perubatan, Universiti Damsyiq, Syria. Beliau seterusnya membuat pengkhususan dalam bidang Internal Medicine di Universiti Damsyiq dan beroleh Ph.D dalam bidang yang sama pada tahun 1952 dalam kajian Hyperthyroidisme.


naib-naib-mursyid-am

(Teratas) Mursyid Am Ikhwan Muslimin Ustaz Mahdi Akef. (Bawah dari kiri) Muhammad As-Sayyid Habib, Naib Mursyid Am 01, Dr. Hasan Huwaidy, Naib Mursyid Am Luar Mesir dan Ir. Khairat Asy-Syatir, Naib Mursyid Am 02.


Sejak dibangku sekolah lagi, beliau mendalami ilmu-ilmu agama terutama dari para ulamak di tempat beliau dan yang paling terkenal ialah Al-Ustaz Asy-Syeikh Hussein Ramadan Al-Khalidy. Beliau banyak membaca dan mengkaji ummahatul-kutub (kitab-kitab induk Ulamak Silam) dalam berbagai bidang.


Beliau mula menganggotai Ikhwan Muslimin sejak dizaman belianya pada tahun 1943 dan berpeluang berjuang bersama-sama Generasi Pertama dari kalangan Ikhwan Muslimin Syria dibawah pimpinan pengasasnya, Ustaz Mustafa as-Siba'ie. Beliau menjadi salah seorang ahli Maktab Tanfizi (JKP) Ikhwan Muslimin Syria ketika menghabiskan pengajian lepasan ijazahnya (post graduate).


Setelah tamat pengajiannya di bidang perubatan, beliau kembali Dir Az-Zuur untuk mengorak langkah perjuangan Dakwahnya disamping membuka klinik sendiri. Beliau kemudiannyya berpindah ke Damsyiq. Disepanjang perjuangan, beliau menempuh berbagai tekanan dan tahanan. Beliau pernah dipenjarakan sebanyak 2 kali iaitu pada tahun 1967 di Dir Az-Zuur dan 1973 di Penjara Al-Muzzah di Damsyiq.


hasan-al-banna1

Al-Imam Asy-Syahid Al-Ustaz Hasan Al-Banna (1906-1949), pengasas dan Mursyid Am Pertama Ikhwan Muslimin.


Beliau memikul tanggungjawab sebagai Muraqib Am Ikhwan Muslimin Syria pada tahun 1980 dan pernah menjadi Naib Muraqib Am selama beberapa tempoh. Beliau mula menjadi Naib Mursyid Am sejak zaman Mursyid Am, Muhammad Hamid Abu An-Nasr. Kemudian menjadi Naib Mursyid Am kepada Ustaz Mustafa Masyhur dan Ustaz Muhammad Makmun Al-Hudhaiby sehingga beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir semalam.


Beliau meninggalkan beberapa penulisan diantaranya bertajuk Al-Wujud Al-Haq, Min Nafahaat Al-Huda, Mahaziir Al-Ikhtilat, Asy-Syura fil Islam dan Mafhuumaatfi Dauk Al-Ilm.


Pembunuhan beramai-ramai kira-kira 30,000 orang Ikhwan dan umat Islam di bandar Hama, Syria oleh Kerajaan Syria pimpinan Presiden Hafiz Al-Asad pada tahun 1982 masih segar di dalam ingatan saya yang ketika itu di dalam Tingkatan 5. Nasyid-nasyid Ikhwan Syria mengenai Tragedi Hama yang berkumandang dalam program-program dan kereta kami sepanjang di jalan Dakwah di Australia (1983-1988) masih ternyiang-nyiang dalam kalbu sehingga ke hari ini. Nasyid tema “Wa Toriquna Mahfufatun bi Syaukin …” (Dan jalan kami dipenuhi duri-duri … ) bagi perkahwinan saya yang berlangsung pada 25.7.1985 di Brisbane, Australia adalah salah satu nasyid Ikhwan Syria yang masih membakar semangat juang insan kerdil ini sehingga ke detik ini.


Sesungguhnya keteguhan Dr Hasan Huwaidy dalam perjuangan Islamnya tidak dapat digambar hanya dalam tulisan dan artikel. Apa yang termampu kita katakan hanyalah kalimat yang diredhai Allah swt “Innalillahi wa inna ilaihi raji’uun” (Kita milik Allah, dan sesungguhnya kepadaNya kita kembali). Moga Allah swt melimpahi Allayarham dengan rahmahNya, ditempatkannya hari ini di anak tangga pertama ke SyurgaNya yang seluas langit dan bumi. Ameen.

“Dari kalangan orang-orang beriman, ada mereka yang membenarkan apa yang mereka janji kepada Allah. Dari kalangan mereka ada yang telah meninggal dunia. Dari kalangan mereka ada yang menunggu (masih hidup) sedang mereka tidak merubah sedikitpun (janji mereka itu)” (Al-Ahzab:23).

Ustaz Halim INIJALANKU www.inijalanku.wordpress.com

1 comment:

Nama Saya Alfian Arif Taib said...

ko copy and paste ke artikel ni??pttlah facts dia sumer pergh...1st class....oit,nnt trun manipal jgn lupa bawa buah tgn...